Ini merupakan sambungan bagi tajuk blog saya yang sebelum ini mengenai "Segarkan Kelesuan Seni Teater Di Malaysia".
Saranan saya untuk memajukan teater di Malaysia ia perlu kepada beberapa gerak kerja yang disusun semula. Terutama pihak Kementerian Kebudayaan perlu melihat kembali kerja yang lalu. Jadikan itu sebagai sempadan dan teladan untuk gerak kerja akan datang. Aturkan gerak kerja yang lebih sistematik serta strategi yang tepat pada sasaranya.
Di antara tindakan gerak kerja yang boleh dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali teater di negara kita ialah :-
Pertama :-
Kementerian Kebudayaan perlu berbincang secara telus dan ikhlas dengan pihak Tema iaitu Majlis Teater Malaysia. Beri peluang kepada Tema menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka secara yang lebih berkesan. Beri keyakinan sepenuhnya kepada mereka. Bantu mereka dengan dana dan nasihat panduan yang secukupnya. Berhenti menjadikan mereka sebagai budak suruhan atau posman. Perlu diingat program festival teater dengan berbagai jenama yang telahpun di mulakan oleh Kementerian Kebudayaan pada awal tahun 1970an dulu gagal mencapai matlamatnya. Sepanjang tempoh itu kewangan yang dibelanjakan tidak berbaloi dengan hasil yang ada sekarang ini. Bengkel, kursus dll, semua lembab.
Kedua :-
Tema perlu melihat ke dalam organisasi mereka. Mana-mana pemimpin yang tidak lagi berkesan kepimpinan mereka, perlulah berlapang dada secara ikhlas mengundurkan diri. Beri pula peluang dan ruang kepada orang lain yang lebih berminat dan berkeupayaan untuk memikul tanggunjawab. Kita sebagai orang lama dalam Tema duduk di belakang sebagai penasihat.
Ketiga :-
Kementerian Kebudayaan perlu fikirkan dana untuk memberi sokongan kepada badan-badan teater menjalankan aktiviti mereka. Sebaiknya diwujudkan geran tahunan untuk mereka. Kaedah dan syarat boleh dibincangkan bersama Tema.
Keempat :-
Wujudkan banyak ruang dan peluang untuk kumpulan teater mengadakan persembahan dari masa ke semasa tidak hanya menunggu musim festival teater setahun sekali atau sekali dalam dua tahun.
Kelima :-
Kementerian Kebudayaan perlu duduk semeja bersama Tema membuat atau melakar peta dan halatuju yang jelas mengenai pembangunan dan perkembangan seni teater di Malaysia. Fikirkan kursus, bengkel, seminar, dialog dan lain-lain dibuat secara konsisten dan berkala. Walaupun semau pekara ini sudahpun dibuat masa lalu, tapi ianya gagal membina kemantapan teater kita. Dimana silapnya? Pasti ada kelemahan.
Persepsi bahawa memberi dana kepada badan NGO teater oleh pihak kementerian sebagai bantuan yang disamakan dengan bantuan kebajikan masyarakat untuk golongan fakir perlu di hapuskan. Sebaliknya ia adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyatnya dalam bidang seni budaya. Jika tidak perlu apanya di wujudkan Kementerian Kebudayaan. Kita akui banyak lagi hal-hal budaya selain dari teater, perlu diingat teater juga adalah satu daripada bidang seni budaya yang penting, sama penting dengan bidang muzik, tari, sastera dan bahasa serta lain-lain.
Adalah memalukan kepada seorang bapa jika dia mengatakan memberi baju sekolah, kasut, buku dan makan minum kepada anak-anaknya adalah bantuan, sedangkan ia sebenarnya adalah tanggungjawab seorang bapa kepada anak-anaknya. Maka begitulah pula Kementerian Kebudayaan dengan badan-badan NGO budaya. Kementerian sebagai bapa dan NGO budaya adalah anak-anak di bawah tanggungannya.
No comments:
Post a Comment